ANGGOTA polis membawa keluar mayat wanita warga Myanmar yang maut akibat dikelar rakan sekerjanya dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Bandar Puchong Utama,Subang Jaya, semalam/utusan.com.my
SUBANG JAYA 16 Feb. – Salah faham berkaitan wang dipercayai menjadi punca seorang wanita warga Myanmar maut dalam keadaan menyedih­kan apabila lehernya dikelar rakan sekerjanya hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa Ching Hai Yung, 31, ditemukan terbaring di dalam bilik sewanya di sebuah rumah kedai Bandar Puchong Utama dengan kesan kelar di bahagian leher dan pinggang.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kejadian berlaku selepas berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek.

Menurut beliau, pada mulanya, lelaki berusia lingkungan 35 tahun itu telah menuduh mangsa mencuri wang miliknya bernilai RM5,000.

“Namun perkara itu dinafikan mangsa, menyebabkan berlaku pertengkaran lalu dan suspek bertindak mengelar mangsa menggunakan sebilah pisau sebelum melarikan diri.

“Kejadian itu hanya disedari salah seorang rakannya yang duduk di bilik bersebelahan selepas terdengar jeritan mangsa,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Yahaya memberitahu, rakannya itu seterusnya memaklumkan kejadian kepada pihak polis.

“Pemeriksaan di tempat kejadian menemukan sebilah pisau memotong sayur yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Yahaya menambah, gerakan memburu suspek giat dijalankan dan kes tersebut di siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber : Utusan.com.my
Reaksi: