Polis Ledang menerima aduan 53 lembu peliharaan seorang pemuda, yang diikat dan ditutup mata, dilarikan sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan Paya Mas, Tangkak. — Foto Reuters
pas 53 lembu peliharaannya dilarikan sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan Paya Mas, Kampung Simpang Bekoh, di sini semalam.

Penternak itu Mohd Amadi Ali, 23, berkata ketika beliau berehat di sebuah pondok di ladang ternakan awal pagi semalam, lapan lelaki bertopeng datang ke arahnya.

“Mereka mengarahkan saya tidak berbuat apa-apa dan mengikat tangan serta kaki saya menggunakan wayar.

“Kemudian mereka mengunakan selimut menutup muka saya sebelum melarikan lembu itu mengunakan sebuah lori,” katanya kepada pemberita semalam.

Katanya beliau percaya perompak mengunakan lori 10 tan kerana mendengar bunyi brek angin.

Beliau berkata perompak itu juga melarikan sebuah motosikal miliknya, serta merampas dompetnya.

“Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana dalam keadaan terikat dan mata tertutup.

“Selepas mendengar perompak itu beredar, saya cuba melepaskan diri dengan meregangkan ikatan pada tangan dan kaki,” katanya.

Mohd Amadi berkata beliau terus ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang kira-kira jam 5.30 pagi semalam bagi membuat laporan polis.

Sementara itu, ketua polis daerah Ledang, Supt Mohammad Salleh Abd Razak, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati rompakan itu dipercayai dilakukan sekumpulan lelaki tempatan berdasarkan laporan yang dilakukan mangsa.

“Polis juga masih melakukan siasatan secara menyeluruh berkaitan kejadian tersebut. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan.

“Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau membeli daging lembu dengan harga murah supaya menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. — Bernama
Reaksi: