Kerincigoogle.com, Polis menembak mati seorang anggota dipercayai Geng Mamak manakala dua lagi ditahan ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis di persimpangan lampu isyarat Plaza Tol Changkat Jering di sini hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh berkata, dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kereta jenis Volkswagen Passat yang dinaiki tiga penjenayah tersebut kerana merempuh kereta polis.
“Polis menembak seorang daripada penjenayah terlibat yang berusia 38 tahun dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Dua lagi suspek masing-masing berusia 31 dan 35 tahun berjaya diberkas dan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam ini.

Menurut Osman, polis berjaya menumpaskan kumpulan tersebut selepas menerima laporan mengenai satu kes samun di Rasah, Negeri Sembilan pada pukul 11 pagi ini.

Katanya, polis berjaya mengesan kereta yang dinaiki oleh suspek di Plaza Tol Changkat Jering pada pukul 4.30 petang.
“Pemeriksaan di dalam kereta Volkswagen Passat menemukan lima set nombor plat kenderaan, dua bilah parang dan wang tunai berjumlah RM2,400,” katanya.

Menurut beliau, kumpulan tersebut dipercayai terlibat dalam pelbagai jenayah terancang di Perak, Kuala Lumpur dan Selangor melibatkan kerugian RM2.4 juta.

Beliau berkata, ketika kejadian polis turut mengesan sebuah kereta jenis BMW berwarna hitam dipercayai rakan mangsa yang tiba di tempat kejadian namun melarikan diri ke arah Lebuh Raya Utara Selatan.

Katanya, berdasarkan maklumat orang ramai, polis menemukan kereta BMW tersebut pada pukul 6.30 petang ditinggalkan di tepi jalan di Kilometer 237.7 lebuh raya berkenaan arah selatan.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut menemukan sepucuk pistol, gari dan walkie-talkie,” katanya.
Menurut beliau, tiga buah kereta polis rosak teruk akibat dirempuh kumpulan penjenayah terlibat.


Reaksi: